Masalah air di Sabah semakin meruncing dan tidak hanya terhad kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS), malah turut berlaku di daerah-daerah lain di negeri ini. Isu ini tidak boleh dibiarkan berlarutan tanpa penyelesaian yang konkrit.
Saya mencadangkan agar Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi meneliti dan menyiasat punca sebenar masalah air yang telah membelenggu rakyat Sabah sejak sekian lama. Sekiranya terdapat unsur sabotaj atau penyalahgunaan kuasa, mereka yang bertanggungjawab mesti diheret ke muka pengadilan.
Rakyat berhak mengetahui ke mana perginya jutaan ringgit wang rakyat yang telah dibelanjakan, tetapi masalah ini masih gagal diselesaikan. Ketelusan hasil siasatan perlu didedahkan kepada umum agar kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran dapat dipulihkan.
Kita tidak boleh melupakan kes rasuah besar melibatkan bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, di mana sejumlah besar wang ditemui di rumah dan pejabatnya, bernilai RM44 juta. Yang menjadi mangsa dalam isu ini adalah rakyat yang masih bergelut dengan krisis air sehingga hari ini.
Sebagai rakyat Sabah, saya berharap agar kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dapat duduk berbincang serta mencari solusi yang tuntas demi kesejahteraan rakyat. Isu ini tidak boleh lagi dipandang ringan!
Zaidi Jatil
Kota Marudu, Sabah
Untuk perkembangan terkini, sila ikuti media sosial saya:
Facebook: Zaidi Jatil
Instagram: @zaidi_jatil
X/Twitter: @zaidijatil
Baca artikel penuh di sini:
Klik untuk membaca